KUCHING - Semua penjawat awam di Sarawak diseru menyertai Persidangan Pengetahuan Antarabangsa (IKC) 2026 pada 23 hingga 26 November ini bagi memperkukuh kompetensi kecerdasan buatan (AI), keterangkuman digital serta kemahiran tadbir urus rekod dan data.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, berkata penyertaan penjawat awam dalam persidangan itu penting memandangkan mereka menguruskan data negeri dan data awam setiap hari.
Bercakap pada sidang media di Kuching hari ini, beliau berkata penjawat awam merupakan barisan hadapan dalam merealisasikan aspirasi Ekonomi Digital Sarawak, sekali gus memainkan peranan penting dalam usaha mentransformasikan perkhidmatan awam kepada kerangka Kerajaan Pintar.
Datuk Seri Roland berkata kompetensi AI dan pengurusan data yang dipercayai perlu diperkukuh supaya kemajuan infrastruktur berteknologi tinggi dapat diterjemahkan kepada perkhidmatan awam yang lebih proaktif dan memberi nilai kepada rakyat.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back