KOTA SAMARAHAN – Pembukaan kampus Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) di Sarawak bakal menyediakan laluan alternatif pendidikan tinggi kepada anak negeri.
Ia terutama bagi pelajar yang tidak mendapat tempat pada pengambilan awal di peringkat universiti.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, operasi kampus berkenaan dijangka bermula tahun depan, dengan pengambilan awal disasarkan sekitar 500 pelajar.
Pembukaan kampus itu sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada pelajar Sarawak untuk mendapatkan pendidikan dan kemahiran tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada institusi pengajian tinggi di luar negeri.
Menurut beliau, pada peringkat awal, KPTM akan menggunakan sebuah lot di kawasan Uni-Central, Kota Samarahan, sebagai premis sementara yang kini sedang menjalani kerja-kerja pengubahsuaian.
Langkah itu diambil sementara menunggu perancangan pembangunan kampus tetap, termasuk permohonan tanah di bahagian Samarahan yang masih dalam proses mendapatkan kelulusan kerajaan negeri.
Pendekatan secara berperingkat itu membolehkan KPTM memulakan penawaran pendidikan di Sarawak terlebih dahulu sebelum kampus tetap direalisasikan pada masa akan datang.
KPTM juga berhasrat menawarkan kursus yang bersesuaian dengan keperluan pembangunan negeri, khususnya dalam bidang teknikal yang diperlukan kerajaan Sarawak.
Kursus yang ditawarkan turut berpotensi menjadi laluan kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi di Sarawak, termasuk universiti yang menawarkan pendidikan percuma.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media, selepas merasmikan Program GEMA Peringkat Sarawak di Halaman Kota Samarahan, hari ini.
Untuk rekod, KPTM kini mempunyai sekitar 1,800 pelajar dari Sarawak yang sedang menuntut di Kuala Lumpur.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back