SARATOK - Tindakan seorang lelaki menceroboh dan mencuri kabel di Loji Simpanan Air Kabong membawa padah apabila dia ditahan pihak polis di sebuah rumah dekat Kabong pada Selasa, 18 Ogos 2026.
Penahanan suspek berusia 28 tahun yang tidak bekerja itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Saratok yang diketuai Inspektor Henry Anak Muji.
Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Mathew Manggie berkata, penahanan itu dibuat susulan laporan polis yang dibuat oleh pengadu selepas menemui kulit kabel di jalan masuk ke premis berkenaan semasa melakukan rondaan pada 18 Ogos lalu.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suis utama di loji berkenaan telah dikopek, manakala kabel untuk pam turut dicuri,” kata beliau dalam kenyataan rasmi pada Rabu.
Menceroboh Loji Dua Kali Menerusi Pagar Rosak
Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku telah menceroboh dan pergi ke lokasi berkenaan sebanyak dua kali iaitu pada 16 dan 18 Ogos lalu untuk mencuri kabel.
Suspek menceroboh masuk melalui pintu pagar belakang loji yang telah rosak sebelum memotong beberapa wayar pada suis utama dan bilik janakuasa menggunakan pemotong wayar.
Beliau turut bertindak membuka suis utama di bilik pam air bagi mengambil kabel yang disambungkan sebelum membawa pulang kabel berkenaan ke rumahnya.
“Suspek mengaku melakukan kegiatan itu seorang diri dan ketika serbuan dibuat, dia sedang membuka kulit kabel yang dicuri di belakang rumahnya. Suspek mencuri wayar kabel bagi tujuan mendapatkan duit untuk membeli bekalan dadah,” jelas Mathew.
Ujian Air Kencing Positif Dadah
Dalam serbuan tersebut, polis merampas dua batang kabel bersalut logam masing-masing sepanjang 21 kaki dan 15.4 kaki, berserta seunit pemotong wayar berwarna merah.
Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. Semakan rekod juga mengesahkan suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah.
Kes kini disiasat secara terperinci mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Sumber: Kenyataan Media KPD Saratok
Back