KOTA SAMARAHAN – Anak Sarawak diseru supaya tidak takut terhadap perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), sebaliknya mempelajari, menggunakan dan menguasainya sebagai sebahagian daripada persediaan menghadapi masa depan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, AI perlu dilihat sebagai teknologi yang mampu membantu manusia menghasilkan jawapan dan idea.
Namun, kemampuan berfikir tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada teknologi berkenaan.
Menurut beliau, manusia tetap mempunyai peranan penting dalam menentukan kebenaran, etika dan nilai terhadap maklumat serta idea yang dihasilkan menerusi AI.
Beliau berkata, semakin pintar teknologi berkembang, semakin penting bagi manusia menguasai kemahiran berfikir secara kritis, kreativiti, etika dan pertimbangan dalam membuat keputusan.
Katanya, generasi kini akan hidup dalam era kecerdasan buatan, justeru mereka perlu bersedia bukan sahaja dengan kemahiran menggunakan teknologi, malah keupayaan menilai dan membuat pertimbangan yang tepat.
Beliau berkata demikian menerusi ucapannya yang dibacakan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, sempena Piala Cabaran Debat Premier Sarawak 2026, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back