KOTA SAMARAHAN – Kemahiran berdebat perlu dilihat sebagai elemen penting dalam membentuk generasi muda Sarawak, yang berani berfikir dan tampil yakin menyuarakan pandangan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, debat bukan sekadar menguji kepetahan berhujah.
Sebaliknya, ia menjadi platform terbaik untuk membina pemikiran kritis, keberanian intelektual, serta keyakinan dalam membawa ilmu dan idea ke pentas dunia.
Menurut beliau, generasi muda Sarawak digesa agar bukan sekadar menguasai bahasa, malah turut dilengkapi ilmu, kemahiran, dan keyakinan untuk berdiri sama tinggi dengan masyarakat antarabangsa.
Beliau berkata demikian menerusi ucapannya yang dibacakan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, sempena Piala Cabaran Debat Premier Sarawak 2026, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik penganjuran pertandingan berkenaan yang dilaksanakan dalam Bahasa Inggeris.
Langkah itu selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh penguasaan bahasa tersebut dalam kalangan generasi muda Sarawak.
Jelas beliau penguasaan Bahasa Inggeris mampu membuka lebih banyak akses kepada perkembangan global, khususnya dalam pelbagai bidang strategik.
Antaranya termasuk bidang sains, teknologi, perubatan, kecerdasan buatan (AI), perniagaan antarabangsa, dan penyelidikan.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa penguasaan Bahasa Inggeris langsung tidak menghakis identiti sebagai rakyat Malaysia mahupun anak Sarawak.
Sebaliknya, ia memberikan keupayaan kepada generasi muda untuk berkomunikasi dan menyumbang secara berkesan di peringkat global.
Justeru, penganjuran pertandingan debat sedemikian dilihat sebagai satu pelaburan penting dalam membina kapasiti pemikiran dan kepimpinan generasi muda yang bakal menerajui Sarawak pada masa hadapan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back