KUALA LUMPUR – Kumpulan AFFIN pada Isnin menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Baiduri Bank dari Brunei Darussalam, bagi memperluas kerjasama perbankan antara Malaysia dan Brunei.
AFFIN dalam kenyataannya memaklumkan, MoU itu bakal membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada pelanggan di kedua-dua pasaran.
Kerjasama berkenaan menggabungkan keupayaan dan rangkaian perbankan AFFIN di Malaysia dengan rangkaian perniagaan domestik serta kepakaran pasaran Baiduri Bank di Brunei Darussalam.
Ia sekali gus mewujudkan saluran kewangan yang lebih langsung kepada syarikat yang ingin menjalankan aktiviti perdagangan, pelaburan dan perniagaan merentasi kedua-dua negara.
Di bawah MoU berkenaan, kedua-dua institusi akan meneroka kerjasama dalam pelbagai bidang perbankan, termasuk perbankan komersial dan runcit, pembiayaan, pembiayaan perdagangan dan perbendaharaan.
Kerjasama turut meliputi perkhidmatan pelaburan, urus niaga saham, pengurusan aset serta unit amanah.
Menurut kenyataan itu, kerjasama berkenaan dijangka memperluas peluang untuk memudah cara aliran transaksi, menjana perniagaan baharu serta meningkatkan akses kepada penyelesaian kewangan untuk pelanggan di Malaysia dan Brunei Darussalam.
Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah yang mewakili AFFIN, dan Ketua Pegawai Eksekutif Baiduri Bank, Ti Eng Hui yang mewakili Baiduri Bank.
Datuk Wan Razly berkata, Malaysia dan Brunei Darussalam mempunyai hubungan ekonomi dan komersial yang kukuh, dengan potensi besar untuk meningkatkan lagi aliran perniagaan serta pelaburan antara kedua-dua pasaran.
Katanya, MoU berkenaan menyediakan platform untuk memperluas hubungan rentas sempadan selain menghubungkan pelanggan dengan peluang baharu.
Sementara itu, Ti Eng Hui berkata, Brunei Darussalam dan Malaysia mempunyai hubungan ekonomi, perniagaan serta hubungan antara rakyat yang kukuh.
Beliau berkata, ketika peluang di Borneo terus berkembang, AFFIN dan Baiduri Bank berada pada kedudukan baik untuk memperkukuh hubungan berkenaan serta mewujudkan lebih banyak peluang kepada perniagaan dan pelanggan di kedua-dua pasaran.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back