KUCHING - Usaha memperkasakan kemudahan asas di kawasan pedalaman N.49 Ngemah terus membuahkan hasil menerusi pelaksanaan dua projek RES Last Miles yang bernilai RM13.10 juta.
Projek yang kini di bawah kementerian dan agensi berkaitan itu bakal memberi manfaat secara langsung kepada sekurang-kurangnya 147 isi rumah di kawasan Ngemah Tengah dan Hulu Ngemah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.49 Ngemah, YB Anyi Jana memaklumkan perincian tersebut selepas menghadiri Sesi Libat Urus Bersama Ahli-Ahli Parlimen dan ADUN Sarawak bersama Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) di Imperial Hotel Kuching, pada 13 Ogos 2026.
"Projek belum boleh dianggap selesai selagi elektrik belum benar-benar menyala di rumah rakyat," tegas Anyi Jana berhubung pemantauan projek kemudahan asas berkenaan.
Kemajuan Projek Ngemah Tengah & Hulu Ngemah
Bagi kawasan Ngemah Tengah, projek The Supply and Installation of RES Last Miles Phase 3 berharga RM9.188 juta kini telah mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 66.60 peratus.
Setakat ini, bekalan elektrik telah pun disalurkan kepada 65 isi rumah. Baki 49 isi rumah lagi di Rh. Lau, Rh. Ai dan Rh. Reba dijangka menerima sambungan elektrik sepenuhnya menjelang penghujung tahun 2026 selepas proses dokumantasi bersama RECODA dilengkapkan.
Sementara itu, bagi kawasan Hulu Ngemah, projek RES Last Miles Fasa 4A bernilai RM3.909 juta yang memberi manfaat kepada 33 isi rumah kini berada pada kemajuan 9.40 peratus dan disasarkan siap pada Disember 2027. Meskipun berdepan cabaran laluan jalan balak ke tapak projek, masalah kebenaran tanah (wayleave) pemilik tempatan telah berjaya diselesaikan sejak Oktober 2025.
Anyi turut menambah bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Sarawak, Sarawak Energy, MUT dan agensi berkaitan amat penting bagi memastikan kemudahan bekalan elektrik berkenaan dapat membantu kehidupan seharian masyarakat serta menyokong ekonomi setempat.
Sumber: Laman Facebook Rasmi Pusat Khidmat Masyarakat ADUN N.49 Ngemah
Back