KUCHING – Kejayaan pasukan Kuching City FC (KCFC) tidak seharusnya terhenti sekadar menjadi antara pasukan terbaik di Malaysia, sebaliknya perlu membina keyakinan untuk melangkah lebih jauh ke peringkat ASEAN.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkembangan positif KCFC sejak kebelakangan ini, membuktikan keupayaannya bersaing dengan pasukan berprofil tinggi dalam kancah bola sepak negara.
Malah, kemampuannya mencabar pasukan Johor Darul Ta'zim pada aksi final Piala Malaysia musim 2025/2026, jelas menunjukkan kelab itu mempunyai asas yang kukuh untuk memperluas aspirasinya.
Sehubungan itu, beliau mahu KCFC terus bergerak dengan penuh keyakinan dan menetapkan sasaran yang lebih tinggi demi merealisasikan hasrat menjadi antara peneraju bola sepak di peringkat tempatan mahupun pentas ASEAN.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik antara AFFIN dan KCFC di Kuching, hari ini.
Menurut beliau, aspirasi tersebut selari dengan matlamat Kumpulan AFFIN untuk menjadi peneraju dalam sektor perbankan.
Ia sekali gus mewujudkan keserasian antara kedua-dua pihak dalam usaha membawa nama Sarawak ke tahap lebih tinggi.
Katanya, kerjasama berkenaan mencerminkan aspirasi bersama untuk terus berkembang serta membawa identiti Sarawak ke pentas yang lebih luas.
Jelas beliau, keyakinan diri dan keberanian menetapkan sasaran lebih tinggi perlu menjadi prinsip yang diterapkan KCFC dalam usaha membina reputasi sebagai kelab yang mampu bersaing di peringkat ASEAN.
Kerjasama berkenaan juga diharap dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak, selain menjadi pemangkin kepada perjalanan KCFC untuk melangkah lebih jauh dalam saingan bola sepak ASEAN.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back