KUCHING – Kumpulan AFFIN secara rasmi dilantik sebagai rakan perbankan rasmi Kuching City FC (KCFC), ketika kelab itu memperluas kehadirannya dari persada bola sepak tempatan ke peringkat ASEAN dan Asia.
Pelantikan itu dilihat berupaya memperkukuh kedudukan KCFC di pentas antarabangsa, di samping membuka peluang lebih luas kepada sektor perniagaan dan ekonomi tempatan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, kerjasama tersebut melangkaui daripada sekadar penajaan semata-mata.
Sebaliknya ia mencerminkan komitmen AFFIN dalam menghubungkan pembangunan sukan dengan komuniti dan pertumbuhan ekonomi.
Menurut beliau, kejayaan dalam bidang sukan mampu memberi impak positif yang luas, termasuk membina momentum kukuh dalam komuniti dan merancakkan aktiviti ekonomi tempatan.
Tambah beliau, KCFC membawa nilai kecemerlangan sukan menerusi kerja berpasukan, strategi, dan aspirasi, manakala AFFIN pula menyumbang dari segi kekuatan kewangan, kepakaran digital, serta komitmen untuk mencipta nilai jangka panjang.
Gabungan kekuatan kedua-dua pihak itu berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang kepada kelab dan para penyokong, sekali gus menyumbang kepada kemajuan Sarawak.
Sehubungan itu, AFFIN menganggap pelaburan ini sebagai usaha menyokong pembangunan sukan negara serta memperluas peluang penyertaan di pelbagai peringkat.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik antara AFFIN dan KCFC, yang berlangsung di Pejabat Serantau dan Korporat AFFIN, Hikmah Exchange, di Kuching, hari ini.
Pada majlis berkenaan, dokumen kerjasama telah ditandatangani oleh Datuk Wan Razly yang mewakili AFFIN, manakala KCFC pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Iswandi Ali Hassan.
Majlis bersejarah itu turut disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bersama dif-dif kenamaan yang lain.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back