KUCHING - Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) dan Sarawak Medical Centre, yang mengendalikan Normah Medical Specialist Centre, telah menjalin kerjasama strategik menerusi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU).
Kerjasama ini bertujuan untuk meneroka potensi aplikasi baharu dalam bidang perubatan regeneratif, diagnostik presisi, peranti perubatan, serta perubatan komplementari bagi meningkatkan mutu penjagaan pesakit di Sarawak.
Sarawak Medical Centre merupakan anak syarikat milik penuh Sarawak State Financial Secretary Incorporated, menjadikannya rakan strategik Kerajaan Negeri Sarawak dalam memperkasa sektor kesihatan.
Hubungkan Teknologi Tempat Ke Persekitaran Klinikal
Menerusi MoU ini, Bioeconomy Corporation yang berada di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan bertindak mengenal pasti dan menghubungkan pakar di Normah Medical Specialist Centre dengan teknologi kesihatan tempatan.
Inovasi tersebut melibatkan syarikat berstatus BioNexus dan syarikat di bawah program Bio-based Accelerator (BBA). Manakala pihak hospital pula akan menyediakan kepakaran serta penilaian klinikal bagi memastikan teknologi berkenaan praktikal untuk kegunaan pesakit.
“Ketika populasi Sarawak semakin menua dan sektor pelancongan kesihatan terus berkembang, terdapat peluang yang jelas untuk membawa inovasi yang bersesuaian lebih dekat kepada pesakit. MoU ini menyediakan platform untuk kami menghubungkan ekosistem bioteknologi Malaysia dengan penyedia penjagaan kesihatan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak.
Tampung Keperluan Populasi Menua Dan Pelancongan Kesihatan
Langkah ini disifatkan amat tepat pada waktunya apabila Sarawak kini direkodkan sebagai negeri kedua tertinggi di Malaysia dengan populasi menua berusia 65 tahun ke atas, iaitu sebanyak 9.7 peratus.
Pada masa sama, sektor pelancongan kesihatan di Sarawak mencatatkan pertumbuhan pesat apabila menerima lebih 104,000 pelancong kesihatan pada tahun 2025, sekali gus menjana hasil sebanyak RM203 juta, iaitu meningkat 27 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Inisiatif ini secara langsung menyokong objektif Dasar Bioteknologi Negara 2.0 di bawah MOSTI, terutamanya dalam memacu pengkomersialan bioteknologi tempatan ke dalam aplikasi perubatan dunia sebenar.
Sumber: Kenyataan Media Bioeconomy Corporation
Back