SIBU - Pihak polis berjaya menahan dua lelaki tempatan serta merampas sebuah lori treler dan excavator yang dipercayai dicuri dalam satu operasi di Jalan Oya, petang Rabu, 12 Ogos 2026.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin bin Abang Ahmad menerusi kenyataan media memaklumkan, tangkapan berkenaan dilakukan kira-kira jam 4.15 petang oleh unit kereta polis dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) IPD Sibu.
Tindakan itu dijalankan hasil maklumat pantas yang disalurkan melalui Pusat Kawalan Polis.
Dua Lelaki Tempatan Ditahan
Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian telah membawa kepada penahanan dua lelaki warga tempatan masing-masing berumur 30 dan 32 tahun bagi membantu siasatan.
Pihak polis turut merampas lori treler berkenaan bersama sebuah excavator yang diangkutnya yang disyaki hasil curian.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri kenderaan bermotor yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara satu tahun atau maksimum tujuh tahun dan juga boleh dikenakan denda," jelas ACP Abang Zainal Abidin.
Penghargaan Kerjasama Awam
Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang awam yang prihatin dan bertindak menyalurkan maklumat sehingga suspek berjaya ditangkap.
Pihak polis menyeru masyarakat tempatan untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam usaha membanteras jenayah di kawasan sekitar.
Sumber: Kenyataan Media KPD Sibu
Back