KUCHING - Integriti perlu menjadi asas dalam memastikan kemakmuran Sarawak terus diperkukuh, selain meningkatkan keyakinan pelabur dan daya saing negara.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata integriti bukan sekadar pematuhan kepada prosedur atau usaha mengelakkan rasuah, sebaliknya melibatkan keselarasan antara nilai, keputusan dan tindakan.
Beliau berkata, kemakmuran Sarawak yang dinikmati hari ini dibina berasaskan kepercayaan, keadilan, rasa hormat dan tanggungjawab yang diamalkan secara konsisten.
Berucap pada Sambutan Hari Integriti Sarawak 2026 di Kuching hari ini, beliau berkata ketelusan dan akauntabiliti turut menjadi antara prasyarat penting dalam menarik pelaburan antarabangsa.
Menurutnya, usaha reformasi perkhidmatan awam dan pengurangan kerenah birokrasi telah menunjukkan hasil apabila Malaysia melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 dalam Laporan Penarafan Daya Saing Dunia (IMD) 2026.
Malaysia turut merekodkan peningkatan dalam kecekapan kerajaan dan perniagaan, manakala 447 projek Reformasi Kerenah Birokrasi telah disiapkan dengan anggaran penjimatan kos pematuhan sebanyak RM2.95 bilion.
Tan Sri Shamsul Azri turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, khususnya Unit Ombudsman dan Integriti Negeri Sarawak (UNIONS) serta Institut Integriti Malaysia (IIM), atas penganjuran program berkenaan.
Sambutan tahun ini membawa tema Integriti Teras Kemakmuran Sarawak, yang dilihat selari dengan aspirasi memperkukuh tadbir urus, integriti dan pembangunan negeri berteraskan kesejahteraan rakyat.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back