KUCHING – Pertandingan Debat Integriti Piala Premier 2026 menjadi platform membentuk generasi mahasiswa yang berfikiran kritis, berhujah berasaskan fakta serta membuat keputusan berlandaskan prinsip integriti.
Pertandingan itu bukan sekadar menguji keupayaan berhujah, malah memberi ruang kepada mahasiswa mengasah kemahiran mempertahankan pendirian secara berhemah sebagai pemimpin masa depan.
Sebanyak 16 pasukan daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi (IPT) di seluruh Sarawak menyertai pertandingan itu, yang berlangsung selama dua hari di Kuching.
Perasmian pertandingan berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr. Juanda Jaya, hari ini.
Beliau berkata, penganjurannya menekankan kepada pembentukan pemikiran kritis, kemahiran komunikasi serta penghayatan nilai integriti dalam kalangan generasi muda.
Penekanan kepada nilai-nilai itu penting, bagi menyediakan ruang kepada mahasiswa mengasah kemahiran berhujah, di samping membentuk keupayaan menilai sesuatu isu secara kritis dan berasaskan fakta.
Dengan latihan dan pengalaman yang diperoleh menerusi pertandingan itu, ia diharap mampu melahirkan generasi pemimpin yang berani menyuarakan pandangan dan bertanggungjawab terhadap setiap pendirian yang diambil.
Senarai pemenang pertandingan akan diumumkan esok sempena Sambutan Hari Integriti Sarawak 2026, yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.
Dalam pada itu, pertandingan berkenaan diharap dapat terus diperluas pada tahun hadapan dengan melibatkan lebih banyak IPT, termasuk institusi milik Sarawak.
Peluasan penyertaan itu akan memberi peluang kepada lebih ramai mahasiswa untuk menyertai platform berkenaan, sekali gus memperkukuh budaya debat yang sihat dalam kalangan generasi muda.
Pada masa sama, usaha berkenaan dapat memperkasa penggunaan Bahasa Kebangsaan serta membudayakan pemikiran kritis, komunikasi berkesan dan nilai integriti dalam kalangan mahasiswa di Sarawak.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back