KUCHIN – Keberanian dalam menyuarakan pandangan atau mempertahankan kebenaran, perlu berasaskan fakta, ilmu dan adab bagi memastikan hujah yang dikemukakan benar-benar berkesan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr. Juanda Jaya berkata, keberanian bersuara tanpa disokong pengetahuan dan fakta yang kukuh tidak memadai, malah boleh menyebabkan sesuatu pandangan sukar dipertahankan secara rasional.
Menurut beliau, perbezaan pandangan merupakan lumrah dalam kehidupan dan tidak seharusnya menjadi punca perpecahan, sebaliknya ia perlu diurus dengan kematangan, adab serta penggunaan bahasa yang baik.
Sehubungan itu, generasi muda perlu dibentuk supaya mampu mempertahankan pendirian secara rasional, di samping menghormati pandangan pihak lain yang berbeza.
Tegas beliau, kekuatan sesuatu hujah bukan terletak pada suara yang paling lantang, sebaliknya bergantung pada ketepatan fakta, kekuatan hujah serta keupayaan menyampaikan pandangan secara jelas dan meyakinkan.
Dalam konteks semasa, kemahiran berkenaan semakin penting, khususnya dalam era media sosial apabila masyarakat boleh menyebarkan pandangan dan maklumat dengan pantas tanpa terlebih dahulu memastikan kesahihannya.
Justeru, kebebasan bersuara perlu disertai tanggungjawab dengan memastikan setiap pandangan yang dikemukakan berasaskan fakta, disampaikan secara beradab dan tidak menjejaskan pihak lain.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pertandingan Debat Integriti Piala Premier 2026 di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back