KUCHING – Atlet Sarawak yang bakal menggalas cabaran negeri pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 Selangor 2026, diingatkan supaya menerapkan mentaliti ‘Killer Instinct’ sebagai kunci utama dalam usaha mempertahankan gelaran juara keseluruhan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kekuatan mental merupakan antara faktor yang membezakan seorang juara dengan atlet yang tewas, selain persediaan fizikal dan teknikal.
Menurutnya, setiap atlet yang bertanding pada temasya berkenaan mempunyai tahap latihan dan persediaan tersendiri, namun kekuatan mental serta keazaman untuk menang mampu menjadi penentu ketika berdepan saingan.
Justeru, beliau mengingatkan atlet Sarawak supaya tidak gentar terhadap mana-mana lawan, termasuk mereka yang lebih berpengalaman atau mempunyai nama besar dalam arena sukan.
Naluri untuk menang, katanya, perlu ada dalam diri setiap atlet supaya mereka terus berjuang dan tidak mudah mengalah apabila berdepan situasi sukar sepanjang pertandingan.
Beliau turut menegaskan bahawa sasaran atlet Sarawak perlu jelas, iaitu memburu kedudukan terbaik dan berusaha untuk muncul juara, bukannya sekadar berpuas hati dengan tempat kedua atau ketiga.
Sehubungan itu, beliau menuntut setiap anggota kontinjen memberikan komitmen, semangat juang dan fokus pada tahap tertinggi sepanjang temasya berlangsung.
Menurut beliau, mentaliti berkenaan amat penting dalam usaha Sarawak mempertahankan gelaran juara keseluruhan yang diraih ketika menjadi tuan rumah SUKMA sebelum ini.
Katanya, misi mempertahankan kejuaraan memerlukan komitmen penuh daripada setiap anggota kontinjen bagi memastikan kutipan pingat Sarawak berada pada tahap terbaik.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Sarawak ke Temasya SUKMA Selangor 2026 di Kuching, hari ini.
SUKMA ke-22 Selangor 2026 akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini, melibatkan 37 jenis sukan dengan 474 acara dipertandingkan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
<span;>Kontinjen Sarawak bakal menghantar seramai 980 orang, terdiri daripada atlet dan pegawai, bagi menggalas cabaran negeri pada temasya sukan kebangsaan dwitahunan itu.
Back