KUCHING – Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mempertimbangkan kemungkinan untuk menangguh atau membatalkan tiga acara yang dijadualkan berlangsung minggu ini, susulan keadaan jerebu yang melanda Kuching.
Tiga acara berkenaan ialah Muzikal @ Garden Ground, Kebaya Walk dan 'Kuching Car Free Morning'.
Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komuniti DBKU, Rudzaimeir Malek berkata, pihaknya kini memantau perkembangan situasi jerebu dari semasa ke semasa, sebelum keputusan mengenai penganjuran acara berkenaan dibuat.
Menurutnya, pemantauan akan diteruskan sehingga Rabu dan sekiranya trend bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terus meningkat, DBKU mungkin mengambil keputusan untuk menangguh atau membatalkan acara berkenaan.
Setakat ini, DBKU masih belum menerima sebarang arahan daripada pihak berkuasa berkaitan berhubung situasi jerebu ini.
Bagaimanapun, DBKU sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan perkembangan situasi semasa.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Acara Zumba Aerodance Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Sarawak di Kuching, hari ini.
Setakat jam 12 tengah hari tadi, bacaan IPU di bahagian Kuching direkodkan pada paras 153, iaitu dalam kategori tidak sihat.
Bacaan tersebut berdasarkan data yang dikongsikan oleh Jabatan Alam Sekitar menerusi laman web rasmi jabatan itu.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back