KUCHING – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Sarawak menyasarkan penyertaan 1,000 orang dalam edisi kedua Zumba Aerodance PERKIM, yang akan berlangsung pada 13 September ini di perkarangan Bangunan Baitulmakmur, Kuching.
Acara berkenaan dianjurkan bersempena program bulanan Car Free Morning anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Setiausaha Kehormat PERKIM Sarawak, Datin Mazlin Darus berkata, penganjuran acara itu merupakan antara inisiatif pertubuhan dalam mempelbagaikan sumber dana bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kebajikan melibatkan 24 cawangan PERKIM di seluruh Sarawak.
Menurutnya, pemilihan aktiviti zumba dan aerodance juga bersesuaian dengan perkembangan aktiviti berkenaan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur dan kaum di bandar raya ini.
Bertemakan retro, beliau menggalakkan orang ramai menyertai acara berkenaan sebagai platform untuk melakukan aktiviti sihat bersama keluarga dan komuniti, selain secara tidak langsung menyumbang kepada usaha pembangunan masyarakat.
Penyertaan kini dibuka sehingga 31 Ogos, dengan setiap peserta bakal menerima topi eksklusif PERKIM selain berpeluang menyertai cabutan bertuah yang diadakan sempena program berkenaan.
Beliau berkata demikian pada sidang media Zumba Aerodance PERKIM di Kuching, hari ini.
Terdahulu, edisi sulung acara berkenaan yang dianjurkan tahun lalu menerima sambutan menggalakkan dengan kira-kira 800 penyertaan.
Susulan sambutan itu, PERKIM Sarawak menyasarkan peningkatan penyertaan kepada 1,000 orang tahun ini, sekali gus memperluas impak program dalam menggalakkan gaya hidup sihat serta mengukuhkan penglibatan masyarakat.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komuniti DBKU, Rudzaimeir Malek, menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai satu usaha yang mampu menyumbang kepada aspirasi Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh inklusiviti masyarakat.
Beliau berkata, DBKU menzahirkan sokongan penuh terhadap penganjuran program itu dan terbuka untuk terus menyokong pelaksanaannya pada tahun-tahun akan datang.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back