PADAWAN - Seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun yang dilaporkan hilang di kawasan hutan berhampiran kediamannya di Kampung Emperoh Jambu, Jalan Jambu-Bayur, Padawan ditemui selamat pagi ini, 10 Ogos 2026.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak mengesahkan mangsa dikenali sebagai Jujoh anak Jimor.
Menurut kenyataan media bomba, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 11.45 malam, 9 Ogos 2026. Susulan itu, dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan telah dikerahkan ke lokasi dan tiba pada jam 12.05 tengah malam untuk penilaian awal.
Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) yang diketuai PBK I Mohamad Ismail bin Zulkipli kemudiannya disambung semula seawal jam 6.00 pagi.
"Pada kira-kira jam 6.50 pagi, mangsa dilihat keluar sendiri dari kawasan hutan dalam keadaan selamat pada jarak anggaran 50 meter dari bahagian belakang rumahnya," jelas kenyataan berkenaan.
Mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan serius terus dibawa oleh anggota bomba ke klinik berhampiran bagi pemeriksaan dan pemantauan kesihatan.
Operasi SAR yang turut dibantu oleh 12 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Simpok pimpinan Puan Alice ditamatkan secara rasmi pada jam 7.30 pagi.
Sumber: Kenyataan Media PGO Bomba Sarawak
Back