KUCHING – Restoran Ringside by Johan Ghazali bukan sekadar sebuah kedai makan, sebaliknya tampil sebagai platform untuk menggalakkan masyarakat memulakan dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Pengasasnya yang juga jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Jojo berkata, Ringside diwujudkan bagi membantu rakyat Malaysia yang mahu memulakan gaya hidup sihat, tetapi tidak tahu hendak bermula.
Menurut beliau, Ringside menawarkan pelbagai pilihan menu makanan sihat selain menganjurkan aktiviti kecergasan sebagai sebahagian daripada usaha mendekatkan masyarakat dengan amalan hidup aktif.
Katanya, keistimewaan Ringside ialah setiap menu yang ditawarkan disertakan maklumat kiraan kalori bagi memudahkan pelanggan merancang pengambilan makanan mengikut keperluan dan matlamat masing-masing.
Antaranya sama ada untuk menambah atau mengurangkan berat badan.
Selain itu, Ringside merancang untuk menganjurkan dua hingga tiga aktiviti kecergasan setiap minggu.
Sesi tersebut akan dikendalikan oleh jurulatih berdaftar daripada pelbagai cabang sukan dan kecergasan, yang turut berperanan sebagai duta Ringside.
Antara aktiviti yang dirancang termasuk 'brisk walk', larian, latihan bebanan dan pilates, bergantung kepada permintaan serta kesesuaian semasa.
Aktiviti berkenaan dibuka secara percuma kepada semua lapisan masyarakat yang berminat dan jadual serta maklumat lanjut akan dikongsikan menerusi media sosial rasmi Ringside.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas sempena pembukaan rasmi restoran Ringside by Johan Ghazali di Gala City Kuching, semalam.
Terdahulu, pembukaan rasmi restoran berkenaan berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 500 pengunjung yang turut menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan.
Mengulas lanjut, kejayaan pembukaan rasmi Ringside di Kuching mendorong pihaknya merancang untuk mengembangkan konsep sama ke Semenanjung Malaysia.
Jelas beliau, usaha tersebut bukan semata-mata bertujuan mengembangkan perniagaan, sebaliknya memastikan matlamat asal Ringside sebagai platform untuk membantu masyarakat memulakan dan membudayakan gaya hidup sihat terus diperkasakan.
Back