SARIKEI - Aktiviti sihat Brisk Walk bersama Premier Sarawak menyemarakkan suasana hari kedua penganjuran Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei 2026 pada Sabtu.
Program riadah yang bermula seawal jam 6.30 pagi itu menyaksikan penyertaan hangat masyarakat setempat bersama kepimpinan tertinggi negeri bermula dari Rumah Rehat Sri Nyelong sehingga ke Taman Tasik Sarikei.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendahului sesi senamrobik sebelum berjalan santai (Brisk Walk) bersama para peserta. Kehadiran beliau secara santai itu memberi ruang interaksi yang mesra antara pemimpin dan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Turut mengiringi beliau ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Abdullah Saidol; Ahli Parlimen Sarikei, Dato Sri Huang Tiong Sii; Ahli Parlimen Tanjung Manis, Dato Ir Yusuf Abdul Wahab, serta wakil-wakil rakyat dan ketua jabatan yang lain.
Selesai aktiviti riadah, Datuk Patinggi Abang Johari bersama rombongan kenamaan menghadiri sesi sarapan pagi di Bazar MARA. Beliau turut meluangkan masa beramah mesra serta menyantuni para peniaga dan pengunjung yang berada di premis berkenaan.
Program Sarawakku Sayang terus menjadi wadah utama dalam menghimpunkan pelbagai perkhidmatan agensi kerajaan, pameran, serta aktiviti kemasyarakatan demi mengukuhkan hubungan antara kerajaan negeri dan rakyat.
Sumber: UKAS
Back