MIRI - Tiga pelanggan sebuah pusat hiburan di Jalan Maju, Miri ditahan pihak polis selepas ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah pada Khamis, 6 Ogos 2026.
Tangkapan tersebut dibuat menerusi operasi dan pemeriksaan premis hiburan yang dijalankan oleh sepasukan pegawai serta anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.
Dalam operasi berkenaan, seramai lima individu terdiri daripada lelaki dan wanita telah diperiksa oleh pihak berkuasa. Hasil pemeriksaan di dalam salah sebuah bilik premis membawa kepada penahanan tiga pelanggan.
Pihak polis turut merampas barang bukti berupa satu gelas kecil mengandungi kira-kira 20 ml cecair jus yang disyaki mengandungi bahan terlarang jenis MDMA. Ujian air kencing yang dijalankan kemudiannya mengesahkan ketiga-tiga suspek positif dadah.
"Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," menurut kenyataan media IPD Miri.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada orang awam atas penyaluran maklumat sehingga membolehkan serbuan berjaya dilakukan. PDRM menegaskan akan terus mempergiatkan pemantauan serta operasi penguatkuasaan di premis-premis hiburan secara berterusan demi membanteras penyalahgunaan dadah serta menjaga ketenteraman awam.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah boleh menghubungi Hotline JSJN di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di talian 017-592 9211.
Sumber: Laman Facebook Rasmi Polis Daerah Miri
Back