KUCHING – Sarawak semakin hampir mencapai liputan internet menyeluruh apabila rangkaian 4G di kawasan berpenduduk seluruh negeri kini mencapai 94.5 peratus.
Selain itu, sebanyak 576 tapak 5G yang dikendalikan oleh Digital Nasional Berhad (DNB) telah beroperasi setakat suku kedua tahun ini.
Timbalan Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA), Ts. Dr. Suhaila Jaffar berkata, pencapaian itu mencerminkan perkembangan positif dalam usaha memperkukuh kesalinghubungan digital di seluruh Sarawak.
Menurutnya, pembangunan infrastruktur telekomunikasi yang lebih meluas amat penting bagi memastikan rakyat menikmati akses internet yang lebih baik, selain menyokong pertumbuhan ekonomi digital negeri.
Beliau berkata, rangkaian komunikasi yang kukuh turut memainkan peranan penting dalam memperluas penggunaan teknologi digital dalam pelbagai sektor.
Katanya, SMA berperanan mengawal selia, memantau serta memastikan pematuhan dalam sektor komunikasi dan multimedia di negeri ini.
Ia bagi menjamin pembangunan rangkaian telekomunikasi dilaksanakan secara bertanggungjawab, selamat dan mampan.
Bagi menyokong pembangunan ekosistem digital yang lebih tersusun, SMA memperkenalkan inisiatif Telecommunications Infrastructure Fees (TIF) di bawah Ordinan Sarawak Multimedia Authority 2017.
Peraturan-Peraturan Sarawak Multimedia Authority TIF 2025 yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu bertujuan menyokong pembangunan, penyelenggaraan serta kawal selia infrastruktur telekomunikasi secara mampan di seluruh Sarawak.
Pelaksanaan inisiatif itu dijangka terus memperkukuh ekosistem digital negeri, sekali gus memastikan pembangunan infrastruktur komunikasi dapat dilaksanakan dengan lebih terancang dan berkesan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media di Kuching, malam tadi.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back