DARO - Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti mencari lokan di sungai Kampung Penuai, Pulau Bruit ditemui selamat pagi ini selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan mangsa dikenali sebagai Mohammad Senawi Gamat, berusia 29 tahun.
Terpisah Dari Rakan
Menurut laporan awal bomba, mangsa telah keluar ke sungai untuk mencari lokan bersama seorang rakannya pada malam semalam. Walau bagaimanapun, mereka berdua telah berpisah di pertengahan jalan untuk mengambil laluan masing-masing.
Kegagalan mangsa untuk pulang ke rumah mengikut masa yang ditetapkan menimbulkan kerisauan keluarga sebelum bapanya bertindak membuat laporan polis bagi meminta bantuan pencarian.
Keluar Senang Dari Kawasan Sungai
Operasi SAR bersepadu yang diketuai oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro telah dimulakan pada jam 8.00 pagi dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pulau Bruit serta penduduk tempatan.
Mangsa bagaimanapun ditemui selamat pada jam 8.19 pagi selepas berjaya keluar sendiri dari kawasan belukar sungai berkenaan dan berjalan pulang ke rumahnya.
Mangsa kemudiannya telah dibawa ke hospital berdekatan bagi menjalani pemeriksaan kesihatan serta pemantauan lanjut oleh pihak perubatan.
Sumber: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak
Back