PADAWAN - Niat seorang remaja lelaki berusia 19 tahun untuk mengelak daripada dikenakan denda penggantian kad pengenalan baharu membawa padah apabila tindakannya membuat laporan polis palsu terbongkar.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Barry anak William mengesahkan siasatan polis mendapati kejadian samun yang didakwa berlaku berhampiran sebuah pasar raya di MJC Batu Kawa pada 2 Ogos lalu sebenarnya tidak pernah berlaku.
Siasatan Dedah Dakwaan Palsu
Dalam laporan asalnya, suspek mendakwa diserang dua lelaki menggunakan objek tajam sebelum melarikan dompetnya yang mengandungi kad pengenalan, kad bank, cukai jalan motosikal serta wang tunai RM120.
Walau bagaimanapun, timbul keraguan semasa rakaman percakapan semula dijalankan oleh pegawai penyiasat di Balai Polis Kota Sentosa pada 3 Ogos lalu.
"Suspek akhirnya mengaku reka cerita berkenaan kerana barang miliknya sebenarnya tercicir dan dia tidak mahu dikenakan denda bagi permohonan kad pengenalan baharu," katanya.
Cadangan Pertuduhan Di Mahkamah
Ekoran pengakuan tersebut, pihak polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan atas kesalahan memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam.
Siasatan kini dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan dan cadangan pertuduhan rasmi di mahkamah.
Sumber: fb Sarawak Edition SE
Back