KUCHING – Pertandingan Debat Piala Cabaran Premier Sarawak 2026, menjadi platform strategik untuk melahirkan generasi pemimpin muda demi pembangunan masa depan Sarawak.
Edisi sulung pertandingan anjuran Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak itu, akan berlangsung dari 14 hingga 18 Ogos ini di Kampus 1 Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak di Kota Samarahan.
Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak, Ali Suhaili berkata, platform itu memberi peluang kepada para peserta mengasah kemahiran berfikir di samping menghormati kepelbagaian pandangan dalam barhujah.
Ia sekali gus menjadi pelaburan jangka panjang, dalam usaha membentuk barisan pemimpin masa depan negeri melalui budaya perdebatan yang sihat dan berilmiah.
Menurut beliau, sebanyak 18 pasukan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh Sarawak telah mengesahkan penyertaan dalam pertandingan itu.
Memfokuskan kepada pelbagai inisiatif oleh kerajaan Sarawak, ia secara tidak langsung memberi ruang kepada para peserta menilai, menganalisis dan membincangkan dasar pembangunan negeri secara ilmiah.
Selain pertandingan debat, para peserta juga akan mengikuti bengkel pembangunan kemahiran yang dikendalikan oleh Majlis Debat Universiti Malaysia (MaDUM).
Beliau berharap pertandingan itu dapat berkembang sebagai platform intelektual utama di Sarawak dalam melahirkan graduan yang berwawasan, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pertandingan Debat Piala Cabaran Premier Sarawak 2026, di Kuching, hari ini.
Sementara itu, Pengurus Seksyen Komunikasi Strategik AZAM Sarawak, Mohd Hassnal Hakim Junaidi berkata, hari kemuncak pertandingan pada 18 Ogos akan dimeriahkan dengan Fiesta Debat yang terbuka kepada orang ramai.
Sementara itu, bagi pusingan akhir pertandingan pada malam 18 Ogos, ia dijangka menarik kira-kira 800 pengunjung yang dijangka akan disempurnakan oleh Premier Sarawak.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back