KUCHING: Tindakan pantas pihak polis susulan satu rakaman video tular di media sosial membawa kepada penahanan lima individu di kawasan RPR Batu Kawa, semalam, 3 Ogos 2026.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Barry William memberitahu, operasi khas tersebut bukan sahaja membolehkan pihak polis menahan suspek utama kes cubaan mencuri peralatan kerja, malah berjaya membongkar pelbagai kesalahan lain termasuk kes dadah dan kesalahan imigresen.
Dua Serbuan Dalam Tempoh 15 Minit
Bertindak atas maklumat risikan, sepasukan polis menyerbu sebuah rumah di RPR Batu Kawa kira-kira jam 2:15 petang dan menahan tiga lelaki serta seorang wanita.
Hasil soal siasat di premis pertama membawa kepada pandu arah oleh seorang suspek ke sebuah lagi rumah tidak bernombor di lokasi berdekatan. Serbuan kedua yang dilakukan kira-kira 15 minit kemudian berjaya berkas seorang lagi lelaki.
"Dua daripada suspek mengaku terbabit dalam cubaan mencuri peralatan kerja berkenaan manakala seorang daripadanya mempunyai kaitan dengan laporan kes jenayah terdahulu," jelas Superintenden Barry William dalam satu kenyataan hari ini.
Kesalahan Imigresen Dan Ujian Positif Dadah
Pemeriksaan lanjut turut menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 39 tahun yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta mengaku terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Dua lagi suspek dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padawan di mana ujian saringan air kencing mengesahkan kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine/amphetamine.
Semakan rekod lampau mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah membabitkan kes samun serta kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tiga daripada suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
Sumber: Kenyataan Media KPD Padawan
Back