KUCHING - Bakat reka bentuk digital tempatan sekali lagi diiktiraf di pentas antarabangsa apabila pelajar tahun akhir UiTM Cawangan Sarawak, Muhammad Nafiz Asyraaf Bin Mohd Nazrin, meraih dua anugerah berprestij di Amerika Syarikat.
Pelajar Program Diploma Seni Reka Grafik dan Media Digital itu membawa pulang pengiktirafan tempat ke-4 dunia serta anugerah khas People’s Choice Award menerusi pertandigan Certiport CCC’s Adobe Certified Professional World Championship 2026 yang diumumkan pada 29 Julai lalu.
Selain julangan dua anugerah berprestij, anak muda kelahiran Selangor berkenaan turut memenangi hadiah wang tunai berjumlah USD1,250 daripada pihak penganjur.
Laluan Bermula Menerusi Kejohanan Kebangsaan
Perjalanan Muhammad Nafiz ke Amerika Syarikat bermula selepas beliau menduduki tangga ke-4 dalam Certiport CCC’s Adobe Certified Professional National Championship peringkat kebangsaan pada Mei lalu, sekali gus layak mewakili negara.
Kejayaan cemerlang di pentas global ini direalisasikan menerusi bimbingan berterusan penyelia beliau, Ts Madeleine Elna Perreau, di samping sokongan penajaan Ahli Parlimen Sepang, Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu, Yayasan MBI Selangor, Pengurusan UiTM Cawangan Sarawak serta para pensyarah.
Sumber: Laman Facebook Rasmi Universiti Teknologi MARA Cawangan Sarawak
Back