BINTULU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Bintulu meneruskan komitmen memperkukuh budaya kerja berintegriti menerusi penganjuran Program Tempat Kerja Bebas Dadah dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Bintulu, pada Isnin, 3 Ogos 2026.
Inisiatif ini bertujuan memastikan seluruh warga kerja serta staf sokongan di jabatan berkenaan sentiasa mengamalkan tahap profesionalisme dan disiplin yang tinggi.
Saringan Menyeluruh Libatkan Petugas Sokongan
Program ujian saringan air kencing ini bukan sahaja melibatkan pegawainya, malah dilaksanakan secara menyeluruh ke atas anggota pengawal keselamatan swasta serta petugas kebersihan di premis tersebut.
Pelaksanaan ujian saringan berkenaan turut disaksikan oleh Ketua Cawangan JPJ Bintulu, Tuan Fedrick Kedo.
"Hasil ujian saringan yang dijalankan mendapati kesemua peserta yang diuji disahkan negatif. Keputusan ini sekali gus membuktikan tahap komitmen serta disiplin yang tinggi dalam kalangan warga kerja jabatan," jelas kenyataan rasmi JPJ Sarawak di laman Fecebooknya hari ini.
Kerjasama Strategik Bersama AADK Bintulu
Pihak pengurusan JPJ Sarawak turut mengucapkan tahniah kepada seluruh warga kerja JPJ Bintulu atas tahap profesionalisme yang dipamerkan.
Pada masa sama, penghargaan setinggi-tingginya disampaikan kepada AADK Cawangan Bintulu atas kerjasama strategik yang terjalin dalam usaha membanteras gejala dadah di tempat kerja.
Sumber: Laman Facebook Rasmi JPJ Negeri Sarawak
Back