KUCHING - Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini, 31 Julai 2026, berkenan menyempurnakan Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Sarawak Tahun 2026 di Dataran Perayaan, Petra Jaya.
Ketibaan beliau bersama Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Fauziah binti Mohd Sanusi pada jam 8.00 pagi disambut oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah serta Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Mohd Sobirin bin Haji Mohd Yusuf.
Turut hadir meraskan majlis ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Haji Karim Rahman bin Hamzah mewakili Premier Sarawak.
Pemeriksaan Kawalan Kehormatan Dan Perbarisan Detasman
Sejurus ketibaan, Tun Pehin Sri berkenan menerima Hormat Diraja daripada pasukan Kawalan Kehormatan Utama yang diiringi lagu kebesaran negeri Ibu Pertiwiku, sebelum menginspeksi perbarisan yang diketuai Pegawai Memerintah Batalion Kesepuluh Rejimen Sempadan, Lt. Kol. Ferry Shahrul Rizal bin Roslan.
Perbarisan tersebut turut membabitkan empat detasman gabungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Veteran ATM, serta Persatuan Pesara Polis dan Bekas Polis Malaysia.
Deklamasi Sajak Dan Pengiktirafan Penerima Pingat PGB
Istiadat diserikan dengan upacara penurunan dan kenaikan Jalur Gemilang, persembahan koir, serta deklamasi sajak khas bertajuk "Maruah Yang Tidak Dijual" karya bersama Mejar Jeneral Mohd Sobirin, Sarjan Mohammad Nazari, dan Koperal Muhammad Hafiz dari Skuadron Semboyan Briged Ketiga Infantri.
Antara momen paling bermakna dalam majlis tersebut ialah sesi memperkenalkan penerima Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) kepada Tun Pehin Sri, iaitu Pegawai Waren Satu (B) Beliang anak Bali, Sarjan (B) Mereng anak Imang, Lans Koperal (B) Unggek anak Atin, Lans Koperal (B) Bajau anak Ladi, Sarjan (B) Dajai anak Anggie, serta Sub Inspektor (B) Mohamad bin Salim.
Acara gilang-gemilang itu diakhiri dengan bacaan doa oleh Sahibul Fadilah Imam Besar Sarawak, Dato Haji Mustapha Kamal bin Ahmad Fauzi serta nyanyian lagu kebangsaan Negaraku dan Ibu Pertiwiku.
Sambutan tahunan ini berdiri sebagai simbol pengiktirafan dan ingatan abadi negara terhadap pengorbanan pahlawan-pahlawan tanah air.
Sumber: fb Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Bin Tuanku Jaafar
Back