KOTA SAMARAHAN – Syarahan Perdana “Language Choice and Power” meraikan kecemerlangan penyelidikan dan kesarjanaan bertaraf antarabangsa Profesor Dr. Ting Su Hie, yang dibina sepanjang lebih dua dekad dalam dunia akademik.
Syarahan perdana anjuran Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu, mengetengahkan pemilihan bahasa dalam membentuk interaksi sosial, yang mempengaruhi peluang dan pengalaman dalam kehidupan seharian.
Dekan FPBK UNIMAS, Dr. Dilah Tuah berkata, penganjuran syarahan tersebut bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-10 fakulti, yang menjadi simbol perkembangan serta pencapaian kolektif institusi itu.
Menurut beliau, syarahan perdana tersebut merupakan tradisi universiti bagi mengiktiraf pelantikan seseorang profesor secara rasmi, selain menghargai sumbangan mereka dalam bidang penyelidikan, kesarjanaan, pengajaran dan pembangunan masyarakat.
Ia turut memberi peluang kepada warga universiti menelusuri perjalanan akademik, idea serta impak penyelidikan yang telah memberi manfaat kepada pelbagai lapisan komuniti.
Beliau berkata demikian menerusi ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Dekan FPBK, Dr. Remmy Gedat, pada majlis yang berlangsung di UNIMAS, semalam.
Terdahulu, Profesor Dr. Ting Su Hie telah membina reputasi sebagai penyelidik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sepanjang 26 tahun penglibatannya dalam dunia akademik.
Kepakaran beliau meliputi bidang pengajian bahasa, pendidikan bahasa Inggeris, linguistik gunaan dan komunikasi kesihatan.
Sepanjang kerjayanya, beliau telah menghasilkan hampir 600 penerbitan akademik, menyemak lebih 430 artikel jurnal dan prosiding persidangan, memeriksa 74 tesis Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD), serta menganggotai lembaga editorial bagi 21 jurnal ilmiah.
Pencapaian tersebut mencerminkan sumbangan besar beliau dalam memperkukuh budaya penyelidikan dan kecemerlangan akademik di UNIMAS, selain mengukuhkan reputasi institusi itu di peringkat antarabangsa.
Sumbangan beliau turut menjadi inspirasi kepada generasi baharu penyelidik dan ahli akademik untuk terus memperkasa budaya penyelidikan, mengembangkan ilmu pengetahuan serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui penyelidikan yang berkualiti dan berimpak tinggi.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back