MATU DARO - Seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun dijatuhi hukuman penjara selama dua minggu oleh Mahkamah Majistret Sarikei hari ini 29 Julai 2026, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menceroboh tapak projek pembangunan di Matu.
Suspek sebelum ini ditahan oleh pihak polis berikutan penglibatannya dalam kes pencerobohan tapak projek jalan di laluan Jemoreng-Passin.
Cuba Melarikan Diri Ketika Ditegur
Menurut kenyataan rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Matu Daro, kejadian dikesan pada jam lebih kurang 10.15 malam ketika pengadu membuat rondaan di kawasan berkenaan.
Pengadu ternampak sebuah kereta dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan. Namun, sebaik sahaja sedar akan kehadiran pengadu, suspek bertindak memecut kenderaannya keluar dari tapak projek berkenaan.
"Tangkapan ke atas suspek serta rampasan kereta yang digunakan dalam kejadian telah berjaya dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Matu Daro dengan bantuan anggota Balai Polis Matu," jelas kenyataan berkenaan di Facebook rasmi IPD Matu Daro.
Positif Dadah & Dijatuhi Hukuman Penjara
Hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Selepas tempoh reman selama empat hari dibenarkan dan kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sarikei pada 29 Julai 2026 di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan.
Tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan dan dijatuhi hukuman dua minggu penjara bermula dari tarikh hukuman serta dihantar ke Penjara Sibu untuk menjalani hukuman.
Pihak IPD Matu Daro turut memberi ingatan mesra kepada masyarakat awam supaya tidak menceroboh atau memasuki mana-mana kawasan larangan mahupun tapak hartanah persendirian tanpa kebenaran pihak berkuasa atau pemilik sah.
Sumber: Kenyataan Media KPD Matu Daro
Back