SARIKEI - Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sarikei telah mendakwa seramai enam individu di Mahkamah Majistret Sarikei pada Selasa 28 Julai 2026 atas kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol.
Kesemua tertuduh dituduh mengikut peruntukan Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 susulan penahanan mereka menerusi Operasi Mabuk (Op Mabuk) yang dijalankan di sekitar bandar Sarikei sepanjang bulan Jun dan Julai lalu.
Hukuman Denda RM10,000 Dan Penjara
Prosiding kes berkenaan telah didengar di hadapan Majistret Puan Stella Augustine Druce, manakala pihak pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Shazwan daripada Bahagian Siasatan Jenayah D5 (BSJD) IPD Sarikei. Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membuat keputusan menjatuhkan hukuman denda RM10,000 ke atas setiap tertuduh serta hukuman penjara antara satu hingga lima hari.
Bagi hukuman ingkar denda, tertuduh boleh dikenakan penjara tambahan antara satu hingga tiga hari.
"Mahkamah turut memerintahkan penggantungan lesen memandu kesemua tertuduh selama dua tahun. Kesemua Orang Kena TUDUH (OKT) telah dihantar ke Penjara Sibu bagi menjalani hukuman yang diperintahkan," menurut siaran media rasmi IPD Sarikei.
Peringatan PDRM
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintenden Aswandy Anis sekali lagi mengingatkan seluruh pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas dan mengamalkan pemanduan berhemah.
Tindakan penguatkuasaan tegas menerusi operasi rondaan berkala akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memelihara keselamatan serta mengurangkan kadar kemalangan di daerah berkenaan.
Sumber: Kenyataan Media KPD Sarikei (28 Julai 2026)
Back