SELANGAU: Seorang lelaki berusia 35 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya hilang kawalan dalam satu kemalangan kendiri di Kilometer 83, Jalan Pan Borneo Bintulu-Sibu, Selangau awal pagi tadi (28 Julai 2026).
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.00 pagi itu meragut nyawa mangsa yang dikenali sebagai Badiuzzaman Bin Nordin.
Hilang Kawalan Di Selekoh
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Bin Alias mengesahkan kejadian itu dalam satu kenyataan media.
Hasil siasatan awal polis mendapati mangsa sedang menunggang motosikal jenis Yamaha berwarna biru secara bersendirian dari arah Bintulu menuju ke arah Selangau.
"Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui kawasan selekoh sebelum motosikalnya terbabas ke bahu kiri jalan dan menyebabkan mangsa tercampak ke atas permukaan jalan raya," katanya.
Disahkan Meninggal Dunia Di Tempat Kejadian
Akibat kemalangan berkenaan, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala serta tangan. Beliau disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Selangau.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Mukah untuk tindakan dan proses selanjutnya. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihak polis menyeru orang ramai atau saksi yang menyaksikan kejadian tersebut untuk tampil memberikan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohd Rahmat Bin Jalimin di talian 011-31627137 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Sumber: Kenyataan Media KPD Mukah (28 Julai 2026)
Back