DEBAK – Edisi ke-7 Jambori Basikal Bukit Antarabangsa Saribas 2026 merakam kisah kejayaan berbeza bagi juara kategori Lelaki dan Wanita Terbuka, semalam.
Bagi juara kategori lelaki, Muhammad Hakim Danish Norizam, penganjuran edisi kali ini menjadi pentas terbaik untuk beliau menebus kekecewaan edisi lalu.
Ia menyusul kejayaannya menduduki tempat keempat pada penyertaan sulungnya sebelum ini akibat beberapa insiden, termasuk terjatuh dan tersesat.
Namun bagi edisi kali ini, beliau bangkit menguasai saingan kategori lelaki untuk muncul juara dengan catatan masa 1 jam 32 minit 50 saat.
Ketika ditemui wartawan Bilik Berita CATS semalam, beliau menyuarakan azamnya untuk melangkah lebih jauh.
"Selagi saya larat berkayuh, saya akan teruskan dan pergi sejauh mana yang boleh, termasuk menyasarkan kejohanan dunia dan Sukan Olimpik," katanya.
Tumpuan beliau kini terarah untuk melayakkan diri ke dalam pasukan kebangsaan, sekali gus beraksi dalam acara basikal bukit pada temasya Sukan SEA Malaysia 2027 kelak.
Dalam masa terdekat, beliau dijadual akan menyertai Jambori Rompin di Pahang serta Jelajah Kedah, sebuah saingan basikal lebuh raya lima peringkat yang dianggap sebagai cabaran utamanya tahun ini.
Dalam pada itu, juara kategori wanita, Norazrin Kamsor, berjaya mengukir nama sebagai juara pada penampilan sulungnya dalam perlumbaan tersebut.
Beliau yang merekodkan masa 2 jam 2 minit 55 saat mengakui teruja dengan pengalaman pertama berkayuh di bumi Sarawak.
Menurut Norazrin, laluan perlumbaan di Sarawak sangat menarik kerana menyajikan pemandangan kampung yang indah, selain menawarkan cabaran fizikal seimbang dari segi trail, off-road, dan tanah lembik yang menguji kecekapan pelumba.
Sembil memuji aspek penganjuran yang dilihatkan sangat profesion dan meriah dengan sokongan dan pelbagai acara sampingan, beliau menyuarakan harapan untuk kembali lagi pada edisi yang akan datang.
Beliau menambah, cabaran sedemikian bukanlah asing buat dirinya memandangkan beliau merupakan juara dunia dalam acara berkenaan.
Ia susulan kejayaannya menjuarai peringkat Asia di India serta meraih kedudukan empat terbaik dunia di Ecuador, tahun lalu.
Norazrin, yang bermula daripada sukan trail running sebelum beralih ke basikal bukit dan aktiviti lasak lain, kini meletakkan sasaran untuk mempertahankan gelaran juara peringkat Asia pada kejohanan kelayakan di India, November depan.
Penganjuran Jambori Basikal Bukit Antarabangsa Saribas jelas menjadi medan pertarungan sengit, malah terbukti sebagai platform strategik dalam menarik perhatian bakat-bakat terbaik sukan berbasikal tanah air ke pentas yang lebih tinggi.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back