DEBAK – Penganjuran Jambori Basikal Bukit Antarabangsa Saribas 2026 melakar sejarah tersendiri apabila mencatatkan penyertaan terbesar sepanjang tujuh edisi ia dianjurkan.
Acara tahunan yang menjadi agenda sukan berprestij daerah itu menyaksikan peningkatan penglibatan pelumba, dengan seramai 197 peserta mendaftar pada tahun ini.
Ia merangkumi penyertaan tempatan dari seluruh Sarawak dan Malaysia, serta pelumba antarabangsa dari Indonesia, Brunei dan Afrika Selatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Dr. Muhammad Razi Sitam, menyifatkan penganjuran kali ini sebagai yang paling berprestij.
Menurut beliau, keistimewaan edisi kali ini bukan sahaja terletak pada peningkatan bilangan peserta, malah skop cabaran yang ditawarkan juga semakin sengit.
Edisi ketujuh itu menampilkan format baharu dengan laluan sejauh 40.5 kilometer yang direka khas untuk menguji ketahanan fizikal dan mental para pelumba.
Laluan mencabar itu merentasi pelbagai bentuk muka bumi, merangkumi kawasan kampung, rumah panjang, ladang kelapa sawit serta beberapa trek baharu yang telah dinaik taraf.
Sementara itu, saingan sengit dalam dua kategori utama menyaksikan Muhammad Hakim Danish Norizam muncul juara kategori Lelaki Terbuka, dengan catatan masa 1 jam 32 minit 50 saat.
Bagi kategori Wanita Terbuka pula, kejuaraan menjadi milik Norazrin Kamsor yang merekodkan masa 2 jam 2 minit 55 saat.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Datuk Dr. Muhammad Razi di Debak, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back