BAU - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau sedang mengesan penceroboh yang terlibat dalam kes khianat memotong kabel kemudahan awam di Kampung Apar, Singai.
Insiden berkenaan dikesan sekitar jam 8.48 pagi semalam (24 Julai 2026) selepas pihak SESCO menerima aduan berhubung gangguan bekalan elektrik daripada penduduk di kawasan perumahan tersebut.
Wayar Utama 20 Meter Dipotong, Kerugian RM5,000
Ketua Polis Daerah Bau, Pemangku Superitendan Mohd. Haide A.Rahman mengesahkan pemeriksaan teknikal di lokasi kejadian mendapati wayar utama (main wiring) sepanjang kira-kira 20 meter telah dipotong oleh individu tidak dikenali.
Jumlah kerugian susulan kerosakan struktur kabel berkenaan dianggarkan bernilai RM5,000.
"Siasatan awal mendapati substation milik Sarawak Energy itu berada di kawasan berpagar tetapi tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) atau kawalan pengawal keselamatan.
"Suspek dipercayai masuk melalui pagar yang rosak dan berlubang. Walaupun kabel telah dipotong, ia tidak dibawa lari dari tempat kejadian," jelas beliau dalam kenyataan rasmi hari ini.
Siasatan Dibawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan
Menurut beliau lagi, kedudukan substation yang terletak berhampiran jalan utama (kira-kira 5 meter) berkemungkinan memudahkan laluan keluar masuk suspek.
Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat terhadap kabel.
Pihak IPD Bau memandang serius tindakan vandalisme dan khianat ke atas kemudahan awam kerana perbuatan sedemikian menjejaskan kesejahteraan harian komuniti. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta menghubungi IPD Bau di talian 082-763311.
Sumber: Kenyataan Media Ketua IPD Bau
Back