KUCHING — Majlis Amanah Rakyat (MARA) tampil buat julung kalinya membawakan acara MARA In Fashion, sempena edisi kedua Program Biznetwork Fiesta Sarawak, tahun ini.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, penganjuranya dibuat susulan sambutan ulang tahun MARA di ibu negara baru-baru ini yang menyaksikan penyertaan usahawan fesyen dari Sarawak agak terhad, sedangkan negeri ini mempunyai ramai bakat baharu yang sedang meningkat naik.
Sehubungan itu, MARA memanfaatkan penganjuran program berkenaan sebagai platform untuk mempromosikan bakat tempatan, sekali gus memberikan pendedahan secara langsung kepada mereka.
Menurut beliau, platform tersebut sekali gus membuktikan keberkesanan program MARA di bawah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang fesyen dan rekaan.
Katanya, kursus-kursus yang ditawarkan melalui program tersebut bukan sahaja mengekalkan asas kreativiti tempatan, malah memberi nafas baharu dengan menerapkan teknologi moden seperti Kecerdasan Buatan (AI) dalam proses mereka bentuk.
Penerapan teknologi itu membuktikan bahawa tenaga mahir dan usahawan berpotensi tinggi dalam bidang fesyen juga mampu dilahirkan dari Sarawak.
Tambah beliau, keberkesanan latihan itu turut dibuktikan menerusi kejayaan salah seorang pelatih TVET MARA yang pernah mewakili negara dalam pertandingan WorldSkills.
Individu berkenaan kini dilantik sebagai pengajar di MARA serta muncul sebagai salah seorang pereka fesyen berkaliber di Sarawak.
Menerusi pengalaman luas yang dimiliki, beliau kini membimbing generasi baharu pelatih TVET MARA dalam bidang fesyen dan rekaan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Program Biznetwork Fiesta Sarawak edisi kedua di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back