KUCHING - Program Biznetwork Fiesta Sarawak dilihat sebagai platform perniagaan strategik yang berupaya mempercepatkan proses komersialisasi produk usahawan tempatan ke peringkat nasional.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, penganjuran program selama tiga hari di Pusat Beli-Belah Plaza Merdeka itu telah menghimpunkan seramai 32 usahawan dari seluruh Sarawak.
Menurut beliau, program anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama TikTok itu, bertujuan mendedahkan para peniaga kepada sudut pemasaran baharu berasaskan teknologi digital.
Katanya, melalui platfrom tersebut, produk-produk yang dipasarkan kini tidak lagi terhad kepada jualan runcit semata-mata, sebaliknya melangkah ke fasa komersialisasi yang lebih luas.
Sementara itu, bersempena hari kedua program itu hari ini, sebanyak enam produk baharu usahawan tempatan telah rasmi dilancarkan.
Produk-produk berkenaan menampilkan inovasi baharu dari segi pembungkusan, kualiti, serta kepelbagaian rasa, termasuk produk berasaskan lada hitam tempatan yang disesuaikan mengikut cita rasa pasaran moden.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan pendekatan padanan perniagaan yang dibawakan khas dalam program itu, memberi ruang kepada usahawan luar bandar untuk berurusan secara terus dengan agensi dan syarikat pemborong utama.
Langkah itu sekali gus membolehkan produk tempatan menembusi rantaian bekalan pasaran yang lebih luas tanpa bergantung kepada jualan harian secara langsung.
Dengan adanya integrasi padanan perniagaan tersebut, beliau optimis program berkenaan mampu mencapai sasaran jualan keseluruhan sebanyak RM1 juta, sepanjang tiga hari ia berlangsung.
Keyakinan itu bersandarkan kepada momentum jualan hari pertama yang sangat memberangsangkan, selain pengalaman penganjuran program serupa di Semenanjung sebelum ini.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas menyempurnakan majlis perasmian Biznetwork Fiesta Sarawak edisi kedua di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back