MUKAH - Pusat Khidmat P213 Mukah terus komited memperkasakan modal insan tempatan menerusi Majlis Pelancaran Program Tuisyen Setiaraja Mukah dan Smart Gadget dengan peruntukan sebanyak RM50,000.
Inisiatif berkenaan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Mukah merangkap Timbalan Menteri Kesihatan Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib.
Program ini bertujuan untuk memberi bimbingan akademik tambahan khususnya kepada pelajar yang memerlukan, selain mendedahkan mereka kepada kemudahan teknologi terkini.
Agihan Peruntukan RM50,000 Demi Pelajar Mukah Dan Dalat
Menerusi peruntukan RM50,000 tersebut, pengagihan dana telah disusun secara menyeluruh melibatkan pelbagai pihak berkuasa pendidikan dan tempatan:
-
RM10,000 disalurkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Mukah
-
RM10,000 disalurkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dalat
-
RM20,000 diperuntukkan bagi perolehan 10 unit tablet yang diselia oleh Majlis Daerah Dalat dan Mukah
-
RM10,000 dimanfaatkan bagi pengoperasian kelas tuisyen termasuk elaun tenaga pengajar, penyediaan makanan, dan bahan bacaan.
"Inisiatif ini merupakan kesinambungan daripada aspirasi penubuhan Yayasan Mukah yang dicetuskan oleh ayahanda saya, Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib bin Mahmud, bagi memastikan akses pendidikan berkualiti terus dinikmati anak-anak Mukah," jelas beliau.
Sedia Hadapi Cabaran Digital
Dato Hajjah Hanifah turut menyatakan sokongan padu terhadap agenda pendidikan Kerajaan Sarawak yang dibawakan oleh Premier Sarawak dalam melahirkan generasi celik digital.
Beliau berharap kerjasama erat antara Pusat Khidmat P213 Mukah, PPD Mukah, PPD Dalat, MDDM serta pihak sekolah dapat memberi impak positif kepada perkembangan akademik dan bina watak pelajar di kawasan pesisir.
Sumber: fb Hanifah Hajar Taib
Back