MUKAH: Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Perikanan Malaysia terus komited memulihara ekosistem laut serta membela nasib nelayan pesisir dengan melabuhkan Tukun Tiruan Jenis Penghalang Pukat Tunda di Perairan Laut Penipah, hari ini, 24 Julai 2026.
Program berkenaan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Mukah merangkap Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib.
Sesi tersebut turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Haji Arbi, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia Dato’ Haji Adnan Hussain, serta Pengarah Kanan Jabatan Perikanan Laut Sarawak Abdul Rahman Abdul Wahab.
Menghalang Pencerobohan Pukat Tunda
Dato Hajjah Hanifah menegaskan bahawa sektor perikanan merupakan tunjang sosioekonomi penduduk Mukah selain memainkan peranan kritikal dalam rantaian keterjaminan makanan negara.
Namun begitu, isu pencerobohan pukat tunda di perairan pantai cetek kerap mengancam mata pencarian nelayan kecil tempatan"Pencerobohan kapal pukat tunda bukan sahaja merosakkan peralatan nelayan tradisional, malah menjejaskan habitat dan pembiakan hidupan marin.
"Langkah melabuhkan tukun penghalang ini adalah strategi paling berkesan untuk memulihkan ekosistem dan memastikan pembiakan ikan terus mampan," jelas beliau.
Peruntukan RM6.758 Juta Sejak 1998
Menurut Dato Hanifah lagi, inisiatif tukun tiruan di perairan Sarawak telah bermula sejak tahun 1998. Secara keseluruhannya, sebanyak RM6.758 juta telah diperuntukkan bagi membina pelbagai variasi tukun di Mukah merangkumi tukun tayar, tukun rekreasi, tukun dasar lembut, dan tukun penghalang pukat tunda.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus memohon pertambahan peruntukan dalam aspek penguatkuasaan, penyelidikan stok sumber laut, dan pembangunan kemudahan pesisir pantai.
Selesai acara simbolik di darat, Ahli Parlimen Mukah itu bersama rombongan menyertai perjalanan sejauh 11 batu nautika ke tengah Perairan Laut Penipah bagi menyempurnakan pelepasan tukun ke dasar laut.
Sumber: fb Hanifah Hajar Taib
Back