SIBU — Generasi muda Sarawak digesa memperkukuh pemahaman terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), bagi memastikan hak istimewa dan kedaulatan negeri terus terpelihara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kegagalan memahami dokumen bersejarah itu akan menyukarkan usaha mempertahankan hak Sarawak pada masa hadapan.
Menurut beliau, setiap baris dan perkataan yang termaktub dalam perjanjian tersebut mempunyai implikasi perundangan serta maksud tersirat yang perlu difahami secara mendalam.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar pengajian berkaitan MA63 diterapkan dalam kurikulum fakulti undang-undang di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Langkah itu penting bagi membolehkan para penuntut di kedua-dua institusi pengajian tinggi tersebut menguasai kandungan serta peruntukan di bawah perjanjian berkenaan secara komprehensif.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Johari turut mengingatkan generasi muda supaya sentiasa berwaspada apabila merujuk maklumat perundangan di platform digital.
Jelas beliau, walaupun enjin carian seperti Google boleh digunakan sebagai rujukan asas, orang ramai tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada aplikasi kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT.
Hal ini kerana, sistem AI lazimnya menggabungkan maklumat daripada pelbagai sumber yang berpotensi menghasilkan fakta tidak tepat atau mengelirukan.
Beliau menegaskan, keupayaan AI tidak mampu menandingi kecerdasan dan pemahaman semula jadi manusia, terutamanya dalam mentafsir dokumen perundangan yang kompleks.
Oleh sebab itu, penguasaan mendalam generasi muda terhadap MA63 tetap menjadi benteng utama dalam mempertahankan hak-hak Sarawak.
Beliau berkata demikian dalam sesi Townhall, sempena Sambutan Hari Sarawak 2026 di Sibu, semalam.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back