MARUDI – Dua mangsa dijumpai meninggal dunia, manakala dua lagi masih hilang selepas perahu yang dinaiki mereka karam di Long Selatong, Sungai Baram.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kejadian dipercayai berlaku pada 20 Julai lalu apabila empat penduduk Kampung Long Selatong menaiki sebuah perahu untuk ke Klinik Kesihatan Long San, namun gagal pulang ke rumah.
Laporan polis yang diterima pada 21 Julai memaklumkan kesemua mangsa tidak dapat dihubungi sebelum penduduk kampung menemukan perahu yang dipercayai dinaiki mereka dalam keadaan karam di Sungai Seperot.
Seorang kanak-kanak berusia empat tahun, Jovian Jangin Joshua, ditemukan meninggal dunia lebih awal dan mayatnya dibawa ke Klinik Kesihatan Long San.
Sementara itu, kira-kira jam 8.50 pagi, penduduk kampung menemui satu lagi mayat di tepi sungai, kira-kira dua jam perjalanan bot dari lokasi kejadian.
Pasukan bomba kemudian menggunakan bot milik penduduk kampung untuk membawa keluar mayat menggunakan pengusung sebelum pengecaman dibuat oleh ahli keluarga.
Mangsa disahkan sebagai Joshua Uken Mathew, 38 tahun.
Sehingga kini, operasi SAR masih diteruskan bagi mengesan dua lagi mangsa yang belum ditemukan, iaitu Ceria Anak Dullah, 43 tahun, dan Jonathan Nyurang Lusut, 45 tahun.
Sumber: Kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back