SERIAN – Lebih enam dekad selepas berakhirnya Konfrontasi Indonesia-Malaysia, kesan tembakan yang masih jelas pada struktur rumah panjang di Kampung Mujat, Tebedu, terus menjadi saksi, detik hitam yang pernah dilalui masyarakat di kawasan sempadan itu.
Bekas tembakan pada dinding rumah panjang tersebut bukan sekadar tinggalan sejarah, malah menjadi peringatan kepada generasi hari ini bahawa keamanan yang dinikmati terbina melalui pengalaman getir dan pengorbanan masyarakat terdahulu.
Bagi penghuni rumah panjang berkenaan, Biat Tajap, 74, kesan peluru yang masih kelihatan mengimbau kembali kenangan pahit lebih enam dekad lalu ketika penempatan mereka diserang dalam tempoh Konfrontasi Indonesia-Malaysia sekitar tahun 1963.
Ketika kejadian berlaku, Biat yang merupakan anak sulung daripada lima beradik, baru berusia 11 tahun.
Namun, ingatan terhadap detik cemas itu masih segar apabila penduduk kampung terpaksa meninggalkan rumah panjang dan melarikan diri ke kawasan hutan bagi mendapatkan perlindungan.
“Ketika itu kami tidak pergi sekolah. Kami semua bersembunyi di hutan kerana keadaan tidak selamat,” katanya ketika ditemui di rumah panjang berkenaan.
Menurut Biat, serangan tersebut menyebabkan hampir keseluruhan penduduk kampung meninggalkan kediaman mereka. Hanya beberapa orang tua yang kekal di rumah panjang, sementara penduduk lain berlindung jauh daripada kawasan penempatan.
Sepanjang tempoh ketegangan itu, hutan menjadi tempat perlindungan utama penduduk rumah panjang itu. Mereka membina pondok sementara untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan serba kekurangan.
Bekalan makanan pula bergantung kepada hasil hutan serta tanaman seperti ubi, manakala air sungai menjadi sumber penting untuk keperluan harian termasuk minuman dan memasak.
Walaupun Kampung Mujat pernah menjadi kawasan yang terdedah kepada operasi ketenteraan kerana kedudukannya berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia, Biat berkata hubungan antara masyarakat di kedua-dua negara tidak pernah terputus.
Menurutnya, penduduk di kawasan sempadan mempunyai hubungan kekeluargaan yang erat dan terus mengekalkan silaturahim sehingga kini.
“Penduduk di sempadan adalah saudara. Hubungan silaturahim masih baik sehingga hari ini,” katanya.
Hari ini, rumah panjang Kampung Mujat kembali menjadi tempat tinggal yang aman dan damai buat penduduknya.
Namun, kesan peluru yang masih terpelihara pada bangunan itu terus berdiri sebagai simbol ketahanan sebuah komuniti yang pernah berdepan ancaman peperangan.
Ia menjadi peringatan bahawa di sebalik keamanan dan pembangunan Sarawak hari ini, terdapat kisah sebuah kampung kecil di Tebedu yang pernah melalui detik penuh ketakutan demi memastikan kelangsungan hidup generasi mereka.
Konfrontasi Indonesia-Malaysia merupakan tempoh ketegangan antara kedua-dua negara selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
Indonesia ketika itu menentang penubuhan Malaysia dan melancarkan dasar konfrontasi yang membawa kepada beberapa insiden ketenteraan, khususnya di kawasan sempadan Sarawak dan Kalimantan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back