KUCHING — Kumpulan muzik popular dari Indonesia, Peterpan, bakal mengubat rindu peminat muzik rock era 2000-an, pada Konsert Rock In The City (RITC) 2026.
Konsert dua hari itu dijadual akan berlangsung pada 29 dan 30 Ogos ini di Wisma Melayu, Petra Jaya, Kuching.
Pengurus Peterpan, Budi Mulianto berkata, kumpulan itu akan tampil dengan 10 lagu hit daripada tiga album terawal mereka yang pernah mencetuskan fenomena.
Antaranya termasuk dari album Taman Langit, Bintang di Syurga, dan album runut bunyi (OST) Alexandria.
Menurut beliau, persembahan kali ini bakal menjanjikan kelainan menerusi penampilan Arda sebagai vokalis utama, selain kolaborasi khas bersama dua artis tempatan dari Sarawak.
Sementara itu, Pengarah Festival Authentic Ideas and Event Enterprise (AIEE), Sunil Mohd Fauzan berkata, pembawaan Peterpan merupakan sebahagian daripada usaha RITC untuk menyatukan peminat muzik rock pelbagai generasi di bawah satu bumbung.
Menurut beliau, RITC merupakan kesinambungan kepada legasi Rock in the Jungle (RITJ) yang pernah dianjurkan di Kampung Budaya Sarawak, sebelum ini.
Penganjuran konsert itu di pusat bandar Kuching kali ini memberi peluang kepada lebih ramai peminat untuk menikmati pengalaman konsert bertaraf antarabangsa.
Selain Peterpan, konsert yang menyasarkan kehadiran 3,000 pengunjung itu turut dimeriahkan oleh beberapa kumpulan muzik serantau.
Antaranya termasuk Secret Signal (Brunei), Barbarik dan Senseless (Malaysia), Post Mortem Education (Sarawak), serta Fearless yang menggabungkan pemuzik dari Indonesia dan Sarawak.
Tiket konsert kini telah mula dijual.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi platform media sosial rasmi Rock In The City 2026.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back