KOTA SAMARAHAN – Pemilik kilang bersaiz kecil di Sarawak digesa supaya tidak berlindung di sebalik status 'premis tidak ditetapkan' bagi mengelak daripada menubuhkan pasukan keselamatan kebakaran di premis masing-masing.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Jamri Masran berkata, walaupun undang-undang sedia ada tidak mewajibkan perkara itu, faktor risiko tinggi melibatkan pengendalian bahan mudah terbakar memerlukan pihak pengurusan kilang mengambil langkah proaktif.
Menurut beliau, penubuhan pasukan keselamatan kebakaran secara sukarela dalam kalangan pekerja amat penting, kerana mereka berperanan sebagai benteng pertama untuk mengawal kebakaran pada peringkat awal.
Jelas beliau, keperluan menubuhkan pasukan keselamatan kebakaran ketika ini hanya diwajibkan kepada kilang yang dikategorikan sebagai premis ditetapkan.
Bagaimanapun, bagi kilang bersaiz kecil yang menggunakan bahan mentah mudah terbakar atau bahan yang mudah menyebabkan api merebak, beliau amat menggesa supaya pasukan keselamatan kebakaran turut diwujudkan.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media, selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Sarawak di Kota Samarahan, hari ini.
Mengulas lanjut, Jamri berkata, kewujudan pasukan dalaman yang mempunyai pendedahan serta latihan asas pemadaman kebakaran, mampu mengurangkan impak kemusnahan sementara menunggu ketibaan pasukan bomba.
Katanya, apabila pekerja peka dan mengetahui tindakan yang perlu diambil, kebakaran dapat dikawal lebih awal sekali gus mengelakkan ia merebak menjadi lebih besar.
Selain aspek kesiapsiagaan, beliau turut menekankan kepentingan pengisytiharan inventori premis secara telus bagi memastikan keselamatan anggota penyelamat ketika operasi pemadaman dijalankan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back