KUCHING – Program Kasih Ibu Tunggal (KASIHNITA) 2026 Sarawak menjadi platform pendekatan menyeluruh dalam usaha memperkasa wanita, khususnya ibu tunggal, bagi memastikan golongan itu tidak tercicir daripada arus pembangunan negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, program selama tiga hari yang berlangsung di Kuching itu, telah disertai seramai 130 peserta.
Menurut beliau, Sarawak merupakan negeri kedua melaksanakan program berkenaan selepas Selangor sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan manfaat kepada lebih ramai wanita di seluruh negara.
Katanya, program tersebut menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan institusi berkaitan bagi memberi pendedahan kepada peserta mengenai pelbagai bentuk bantuan, perkhidmatan dan sokongan yang boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kesejahteraan diri serta keluarga.
Ia termasuk pendedahan mengenai pengurusan kewangan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Bank Negara Malaysia, selain penerangan berkaitan bantuan perundangan oleh Jabatan Bantuan Guaman serta perkhidmatan yang disediakan oleh Kehakiman Syariah.
Jelas beliau, matlamat kementerian adalah untuk memastikan tiada wanita yang tercicir daripada arus pembangunan.
Pihaknya mahu para ibu tunggal juga memiliki pengetahuan dan keyakinan untuk memperkukuh kedudukan ekonomi serta memajukan keluarga masing-masing.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media, selepas merasmikan Program Kasih Ibu Tunggal (KASIHNITA) 2026 Sarawak di Kuching, hari ini.
Sementara itu, beliau menambah, program berkenaan akan diteruskan pada masa hadapan, dengan kerjasama kerajaan negeri bagi mengenal pasti lebih ramai ibu tunggal yang memerlukan bantuan.
Menurutnya, kementerian turut mengambil kira maklum balas peserta bagi menambah baik pelaksanaan program dan merangka inisiatif yang lebih berkesan pada masa hadapan.
Malah, skop program itu juga dijangka diperluaskan secara berperingkat supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh lebih ramai golongan masyarakat, sejajar dengan usaha membina komuniti yang lebih inklusif, sejahtera dan berdaya tahan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back