KUCHING – Penubuhan Persatuan Petinju Profesional Malaysia membuka laluan yang lebih tersusun kepada petinju amatur negara untuk beralih ke arena professional.
Persatuan baharu yang baru ditubuhkan minggu lalu di Kuala Lumpur itu, telah melantik Ahli Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia, Datuk Rahman Lariwoo sebagai presiden persatuan itu.
Menurut beliau, persatuan berkenaan akan berperanan mengenal pasti dan membimbing petinju amatur yang berhasrat meneruskan kerjaya dalam arena profesional, termasuk memberi pendedahan kepada kejohanan yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Katanya, di Sarawak, wilayah itu kini mempunyai empat petinju yang telah dikenal pasti untuk beralih ke arena profesional, manakala di peringkat kebangsaan jumlah itu dijangka meningkat kepada sembilan orang menjelang hujung bulan ini.
Perkembangan ini menunjukkan semakin ramai petinju tempatan, bersedia untuk mengembangkan kerjaya mereka dalam arena professional.
Beliau berkata demikian dalam satu sesi sidang media khas, Persatuan Tinju Sarawak di Kuching, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai perancangannya, Datuk Rahman berkata, persatuan merancang untuk menganjurkan satu kejohanan tinju profesional di Sarawak yang disasarkan berlangsung pada penghujung tahun ini.
Penganjurannya bukan sahaja menjadi platform mengetengahkan petinju profesional tempatan, malah menghidupkan semula kejohanan tinju profesional di Sarawak pada skala yang lebih besar.
Dalam pada itu, pembangunan bakat muda juga akan terus diperkasa, menerusi 14 pusat pembangunan tinju di seluruh Sarawak.
Menurutnya, petinju yang mencapai usia 21 tahun dan berminat beralih ke arena profesional akan diberi galakan serta bimbingan bagi memastikan mereka benar-benar bersedia untuk bersaing di pentas profesional.
Beliau berharap usaha itu mampu melahirkan lebih ramai petinju profesional dari Sarawak dan Malaysia, sekali gus meningkatkan daya saing negara dalam sukan tinju di peringkat antarabangsa.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back