KUCHING – Persidangan Media Sarawak (SMeC) disasarkan menjadi platform perbincangan utama berkaitan industri media, bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah di rantau ASEAN.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, persidangan itu berperanan sebagai platform bersepadu bagi membincangkan peranan media dalam mengukuhkan nilai kemanusiaan.
Menurut beliau, SMeC yang memasuki edisi ketiga penganjurannya tahun ini akan berlangsung pada 16 Julai di Kuching.
Persidangan berkenaan dijangka akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Bertemakan "Media, Kepercayaan dan Tadbir Urus", beliau berkata tema tersebut amat bertepatan memandangkan landskap penerbitan serta operasi media hari ini semakin dipengaruhi oleh era digital dan perkembangan pesat teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Katanya, SMeC 2026 akan menampilkan beberapa tokoh veteran media terkenal, termasuk Datuk Norhyati Mohd Ismail, sebagai panel bagi berkongsi pandangan mengenai cabaran serta masa depan industri media.
Menariknya, edisi kali ini ia turut diperkasakan menerusi penganjuran dua bengkel media susulan, yang akan diadakan di CENTEXS dan Tegas Digital Village.
Bengkel tersebut akan melibatkan penyertaan golongan belia dan pelajar universiti, dengan fokus kepada bidang kewartawanan.
Ia merangkumi penulisan berita, teknik fotografi dan videografi, penyuntingan serta penggunaan AI dalam media.
Beliau berkata demikian pada sidang media SMeC 2026 di sini, hari ini.
Sementara itu, beberapa acara sampingan lain turut disusun bagi memeriahkan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) Peringkat Negeri Sarawak tahun ini.
Antaranya ialah Majlis Makan Malam HAWANA Sarawak yang akan berlangsung pada malam 16 Julai.
Ia bakal diserikan dengan tayangan video khas mengenai aktiviti media, cabutan bertuah serta persembahan artis jemputan.
Selain itu, Karnival Sukan Media turut kembali dianjurkan di tiga zon utama iaitu Kuching, Sibu, serta sama ada di Miri atau Bintulu.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back