KOTA SAMARAHAN – Geran yang disalurkan kerajaan negeri terus memperkukuh usaha pemulihan holistik penghuni institusi kebajikan di Sarawak, bagi membolehkan pelbagai program pendidikan, pemulihan dan pembangunan sahsiah dilaksanakan secara berterusan.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, Semawi Mohamad berkata, Sekolah Tunas Bakti Kuching dan Asrama Akhlak Lelaki Kuching telah melaksanakan sebanyak 37 aktiviti setakat tahun ini, hasil pembiayaan geran yang disediakan.
Menurut beliau, geran berkenaan dimanfaatkan bagi memperkukuh pelaksanaan pelbagai program yang memberi penekanan kepada pembangunan ilmu, pembentukan sahsiah, disiplin serta kemahiran insaniah penghuni.
Ia sebagai persediaan untuk mereka kembali menjalani kehidupan bermasyarakat.
Katanya, komitmen berterusan kerajaan negeri membolehkan institusi melaksanakan program pembangunan diri secara konsisten.
Ia sekali gus membantu melahirkan penghuni yang lebih berkeyakinan, berdikari dan bersedia membina masa depan yang lebih baik selepas tamat menjalani pemulihan.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ngiling Bidai 2026 Sekolah Tunas Bakti Kuching dan Asrama Akhlak Lelaki Kuching, hari ini.
Pada majlis sama, kedua-dua institusi berkenaan menerima geran berjumlah RM51,990 yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Ia mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan institusi kebajikan bukan sahaja menyediakan perlindungan kepada penghuni, malah berfungsi sebagai pusat pemulihan yang mampu membentuk sahsiah, meningkatkan potensi diri dan membuka peluang kedua untuk mereka.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back