KUCHING – Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak edisi kali ini, bakal menjadi platform serambi perniagaan yang dinamik dalam melonjakkan jenama tempatan Sarawak ke pasaran luar.
Pemilihan Samarahan sebagai lokasi penganjuran tahun ini dilihat sebagai langkah strategik yang memberikan peluang keemasan kepada para peniaga tempatan untuk menembusi pasaran yang lebih luas.
Ketua Pengarah Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar berkata, dengan kekerapan siaran langsung yang diadakan sepanjang karnival berlangsung, ia sekali gus mampu mempromosikan jenama tempatan dengan lebih agresif.
Langkah itu memastikan produk-produk tempatan kini tidak lagi hanya dikenali oleh komuniti sekitar, malah berpotensi besar untuk memikat hati rakyat di seluruh Malaysia.
Tambah beliau, jika sesuatu produk tersebut mempunyai kualiti dan potensi yang tinggi, pihaknya bersedia untuk membawa para peniaga berkenaan menyertai siri jelajah karnival itu di negeri-negeri lain.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak di Kuching, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyambut baik langkah membawa karnival gergasi itu keluar dari Kuching kali ini.
Menurut beliau, usaha memperkasakan wilayah pinggir bandar seperti Samarahan menerusi acara besar seumpama itu mampu mencetuskan impak limpahan ekonomi yang sangat positif kepada penduduk setempat.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back